Jangan biarkan ibu bapa kita hidup begini di hari tua mereka kelak
Sesungguhnya bersedekah itu dapat menyucikan diri kita
Ketika cucu-cucu Rasulullah SAW iaitu al-Hasan dan al-Husain sakit, Ali dan isterinya Fatimah bernazar akan berpuasa tiga hari apabila anak-anak mereka sembuh nanti. Setelah kedua-dua anak mereka sembuh, mereka melaksanakan puasa nazar tersebut.
Pada hari pertama berpuasa, mereka tiada apa-apa untuk dimakan. Ali pergi menemui Sham'un, seorang lelaki Yahudi untuk berhutang sedikit gandum. Ali pulang ke rumah membawa tiga sa' gandum. Fatimah menggunakan 1/3 daripada gandum tersebut untuk membuat roti. Fatimah menyediakan lima keping roti, cukup untuk seorang sekeping termasuk pembantu mereka.
Hari Pertama
Setelah selesai solat berjemaah bersama-sama Rasulullah, Ali pulang ke rumah. Ketika roti telah terhidang untuk santapan berbuka, seorang lelaki miskin datang ke rumah mereka.
"Assalamualaikum wahai ahli keluarga Muhammad. Aku salah seorang orang miskin daripada kalangan umat Muhammad. Demi Allah, aku lapar. Berilah aku makanan, moga Allah akan memberikan kamu makan daripada hidangan syurga."
Tidak sampai hati mendengar rayuan si miskin itu, mereka pun memberi makanan yang telah disediakan untuk juadah berbuka mereka itu. Diberikan semuanya kepada si miskin, kelima-lima keping roti itu. Akhirnya, mereka hanya minum air untuk berbuka, sekadar membasahkan tekak yang kering.
Hari Kedua
Fatimah menggunakan 1/3 lagi bahagian gandum tersebut untuk membuat roti, sekeping untuk seorang. Kejadian sama berulang kembali. Kali ini datang seorang anak yatim yang mengharapkan sedikit makanan daripada mereka.
"Assalamualaikum wahai ahli keluarga Muhammad. Aku seorang anak yatim Muhajirin, ayahku syahid pada hari al-Uqbah. Berilah aku makanan, moga Allah akan memberikan kamu makan daripada hidangan syurga," rayu si yatim tidak berbapa.
Lantas, mereka memberikan hidangan yang akan disantap untuk berbuka puasa kepana anak yatim tersebut. Pada hari kedua berpuasa, mereka berbuka dengan beberapa teguk air.
Hari Ketiga
Puasa nazar diteruuskan lagi pada hari ketiga. Fatimah menggunakan kesemua baki gandum untuk membuat roti. Sama seperti hari sebelumnya, seorang tawanan Musyrik pula telah datang ke rumah Ali dan Fatimah, saat hampir waktu berbuka.
"Assalamualaikum wahai ahli keluarga Muhammad. Aku seorang tawanan dan kamu menawan kami. Berilah aku makanan, sesungguhnya aku tawanan Muhammad."
Lalu mereka memberikan makanan mereka kepada tawanan itu.
Hari Keempat
Ali membawa al-Hasan dan al-Husain menemui Rasulullah SAW. Mereka kelihatan tidak bertenaga kerana sudah tiga hari tiga malam tidak makan apa-apa melainkan beberapa teguk air.
Apabila Rasulullah SAW melihat mereka, Baginda mendapati keadaan mereka agak teruk dengan perut yang kempis dan mata yang cengkung akibat terlalu lapar. Rasulullah SAW memohon pertolongan kepada Allah SWT dan turunlah Jibrail. Jibrail berkata, " Assalamualaikum wahai Muhammad dan ahli keluargamu. Sesungguhnya Tuhan-Mu menyampaikan salam buatmu dan tahniah buat ahli keluargamu." Lalu turunlah ayat 8-9 daripada surah al-Insan.
Menurut sebahagian ahli tafsir, kisah ini menjadi sebab turunnya ayat 8-9 dalam surah al-Insan yang bermaksud : " Mereka juga memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang tawanan. (Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati), ' Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata. Kami tidak berkehendakkan sebarang balasan daripada kamu atau ucapan terima kasih."
Subhanallah, sungguh mulia hati Sayidina Ali sekeluarga. Mereka sepakat memberikan makanan kepada orang lebih memerlukan walaupun mereka sendiri berpuasa dan tiada makanan. Jika hari ini kita mampu bersahur dan berbuka enak, ingatllah, masih ramai orang susah di luar sana. Masih ramai yang terpaksa menadah tangan meminta sesuap nasi.
Di sebalik kelam malam dan celah-celah lorong, masih ramai yang terpaksa berebut dengan anjing dan kucing menyelongkar tong sampah mencari makanan.
Semoga kita mampu menyumbangkan sedikit rezeki yang diperoleh hari ini untuk meringankan beban golongan yang memerlukan sama ada dalam bentuk sedekah sunat atau zakat. Paling tidak pun, elakkan pembaziran terutamanya hidangan berbuka.
~Dipetik dalam sudut ANEKDOT, Majalah Solusi Isu No. 34
No comments:
Post a Comment